Monday, 28 April 2014

PENULISAN ILMIAH












BSS 3073: KESUSASTERAAN MELAYU DALAM PEMBINAAN MODAL INSAN

TAJUK

PENULISAN ILMIAH:
MODUL PENGAJARAN TENTANG NILAI KEPADA PELAJAR PRASEKOLAH


 DISEDIAKAN OLEH
NAMA
NO. MATRIK
NURUL NAJIHAH BT RAMLI
D20111047545
ZAKIAH NOOR BT CHE ZAKARIA
D20111047583
NOR RASYIDAH BT ZAKARIA
D20111047599
NOR HAYATI BT MOHAMAD
D20111047609
NURUL ADILA BT MOHD SALEH
D20111047667


KUMPULAN A

PENSYARAH: DR. NORAZIMAH BINTI ZAKARIA

Tarikh Hantar: 8 MEI 2014




1.0       Pengenalan
Pendidikan prasekolah adalah pendidikan asas yang penting dan ia telah mendapat perhatian di semua masyarakat kerana ia merupakan pendidikan awal dalam perkembangan hidup seseorang individu. Selain mendapat pendidikan awal di rumah, pendidikan prasekolah merupakan permulaan dalam proses pembelajaran seseorang individu. Program pendidikan prasekolah yang terdapat di negara kita adalah terdiri daripada golongan pelajar yang berumur dalam lingkungan empat hingga enam tahun.
            Matlamat utama pendidikan prasekolah adalah untuk menyuburkan potensi dalam semua aspek. Hal ini bersesuaian dengan matlamat tersebut agar menerapkan pembelajaran tentang kesusasteraan. Dengan penerapan kesusasteraan bermula daripada prasekolah lagi akan memudahkan kerja guru di samping telah memberikan pendedahan awal kepada pelajar tentang kesusasteraan. Kesusasteraan kanak-kanak merupakan semua jenis penulisan kreatif dan imaginatif yang sememangnya dikhususkan untuk bahan bacaan dan hiburan kanak-kanak. Menurut Hadijah Rahmat (2006:1), kesusasteraan kanak-kanak ini meliputi keseluruhan buku yang bermutu dan berfaedah yang ditulis untuk bacaan kanak-kanak yang merangkumi bidang fiksyen dan bukan fiksyen.
            Di samping itu, kebanyakan buku sastera kanak-kanak lebih menarik minat dan perhatian kanak-kanak kerana mereka sememangnya mempunyai kecenderungan semula jadi terhadap sesuatu yang berunsurkan kreatif dan imaginatif. Dengan arus kemajuan negara telah menjadikan kesusasteraan kanak-kanak begitu penting. Hal ini kerana, kebanyakan ibu bapa kanak-kanak ini bekerja oleh itu, mereka ada yang terpaksa membiarkan anak-anak mereka melakukan aktiviti sendiri. Hal ini menyebabkan membaca merupakan salah satu aktiviti yang baik bagi mengisi masa lapang kanak-kanak tersebut.
            Bagi memudahkan lagi pengajaran kesusasteraan pada zaman sekarang guru boleh menggunakan pelbagai multimedia untuk pengajaran kesusasteraan. Sebagai contoh, penggunaan blog boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran sebagai salah satu kaedah pengajaran yang berkesan. Pengajaran melalui blog ini sebenarnya dapat menarik perhatian pelajar kerana sebagai guru ia telah melakukan satu kelainan daripada pengajaran yang biasa. Kanak-kanak sebenarnya akan mudah tertarik dengan cara pengajaran sebegini kerana paparan melalui blog yang kebanyakannya menarik.
1.1       Konsep Modal Insan
Modal insan bukanlah sesuatu yang baharu. Ia bermula sejak dari zaman lampau lagi sehinggakan kita tidak dapat mengenal pasti sudah berapa lama modal insan ini wujud. Modal insan ini merupakan peri pentingnya dalam kehidupan seseorang insan. Abdul Fatah Hassan (2001:68) ada menyatakan bahawa sesuatu yang dipandang berharga itu, semestinya mengandungi nilai. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya nilai yang positif dalam setiap diri individu. Allah S.W.T sendiri menitikberatkan tentang modal insan setiap individu, (Aidit, 2008).
            Menurut Yahya, Aziah dan Yaacob, (2006) matlamat persekolahan adalah mencorak dan membentuk sumber manusia yang berpotensi menjana pembangunan negara. Oleh itu, untuk mengelakkan sastera ini tidak terus hilang dalam arus pembangunan maka tepatlah hasrat kerajaan memastikan kesusasteraan ini diajarkan sejak dari prasekolah lagi. Penerapan nilai-nilai murni melalui teks kesusasteraan adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu. Di samping itu, ia juga dapat menentang berlakunya penularan pelbagai masalah dalam kalangan masyarakat yang berpunca dari kepelbagaian teknologi yang mengheret remaja dan masyarakat dengan pelbagai gejala.
                       
1.2       Konsep Nilai Murni
Nilai murni dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, tatasusila dan peradaban seseorang individu dalam hubungannya sesama manusia, alam dan yang paling utama dengan penciptanya. Nilai murni sesuatu masyarakat kebiasaannya diasaskan kepada agama. Sememangnya menjadi suatu tujuan yang utama dalam setiap agama terutama agama Islam untuk membentuk kehidupan penganutnya menjadi baik dan berakhlak mulia.
            Falsafah Pendidikan Negara (FPN) telah menggariskan bahawa pendidikan di Malaysia merupakan satu usaha berterusan ke arah perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Secara keseluruhannya dapat difahami bahawa FPN ini menjurus ke arah mencirikan insan dan warganegara yang baik.
            Kesedaran tentang kepentingan penerapan nilai-nilai murni sangat perlu terutama dalam kalangan ibu bapa dan guru. Nilai-nilai murni perlu disemai dan dibajai mulai zaman kanak-kanak lagi.  Kanak-kanak ibarat kain putih yang perlu dicorakkan dengan warna-warna nilai yang baik. Oleh itu, ibu bapa dan guru masing-masing memainkan peranan dalam memberikan contoh teladan yang baik kepada kanak-kanak agar mereka dapat menjadikan diri mereka sesuai dengan akhlak yang dipertontonkan.
            Asas kepada proses pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak dalam membentuk peribadi dan akhlak mulia mula diterapkan dari pendidikan pra sekolah lagi. Ada kalanya nilai-nilai murni tidak hanya terdapat di dalam silibus pengajaran sahaja tetapi secara tidak langsung ia diterapkan melalui komunikasi yang baik antara guru dan murid yang secara terus dapat mempengaruhi penanaman nilai dan akhlak mulia.
2.0       Analisis Kajian
2.1       Penerapan Nilai Melalui Kisah Teladan
Kisah teladan merupakan kisah yang mempunyai unsur didaktik, pendidikan moral dan memberi pengajaran atau teladan. Pengajaran dan teladan ini lebih memberikan tumpuan kepada kanak-kanak dan kebanyakannya merupakan pendidikan moral. Kisah-kisah teladan ini sesuai dijadikan contoh kepada kanak-kanak kerana ia mempunyai struktur cerita yang sederhana dan tidak berbelit-belit seperti cerita penglipurlara. Kebanyakan ceritanya adalah mengikut kronologi yang sangat mudah untuk difahami. Kisah teladan ini juga sering mengetengahkan cerita tentang watak baik yang akan mendapat balasan yang baik dan watak jahat yang akan mendapat balasan yang buruk. Hal ini, bolehlah dijadikan teladan kepada kanak-kanak. Di samping itu, ia disampaikan secara bersahaja dan menggunakan gaya pertuturan seharian.
2.1.1    Nilai Kesabaran
Kesabaran merupakan salah satu sikap yang paling penting bagi setiap manusia. Kesabaran adalah asas yang penting ke arah membentuk perilaku dan sifat yang mendapat keredaan Allah. Dalam konteks Islam, sabar merupakan salah satu dari sifat mahmudah yang perlu dan mesti wujud dalam diri setiap manusia. Secara jelasnya dapat difahami bahawa sabar adalah suatu sikap tenang, tabah, redha dan ikhlas dalam menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan serta sentiasa berusaha mengatasinya.
            Nilai kesabaran ini perlu diterapkan kepada kanak-kanak pada peringkat pra sekolah lagi. Sikap sabar dapat dilihat dalam kisah ‘Ikan Kecil dan Beruang’ apabila seekor beruang yang kelaparan sanggup menunggu dari pagi hingga ke petang untuk menangkap ikan di dasar sungai. Hal ini demikian kerana, beruang itu yakin usahanya untuk mendapatkan makanan akan berhasil jika dia terus menunggu. Sikap sabar seekor binatang ini boleh dicontohi oleh setiap manusia.
2.1.2    Nilai Tolong-menolong
Nilai tolong-menolong pasti tidak akan ketinggalan apabila kita membaca cerita-cerita teladan. Penerapan nilai tolong-menolong ini haruslah diterapkan sejak kanak-kanak kecil lagi. Penerapan nilai tolong-menolong ini adalah penting untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kanak-kanak prasekolah ini perlulah diberikan contoh teladan yang biak kerana pada peringkat umur mereka ini mereka mudah mengikuti apa yang dilakukan oleh orang yang lebih dewasa daripada mereka. Kanak-kanak ini hendaklah dilatih dengan menolong seperti menolong guru membawa buku atau membantu rakan-rakan. Sikap tolong-menolong ini juga adalah sifat yang terpuji dan amat disukai oleh Allah S.W.T.
            Nilai ini dapat dilihat dalam cerita “Semut dan Burung Merpati”. Dalam cerita ini dapat dilihat sikap tolong-menolong antara semut dan burung merpati, di mana pada mulanya burung merpati telah menolong semut ketika semut terjatuh ke dalam sungai dan selepas itu semut telah menolong burung merpati ketika burung merpati nyaris-nyaris ditembak oleh pemburu. Melalui cerita ini telah dapat dijadikan contoh kepada kanak-kanak untuk mengamalkan sikap tolong-menolong. Mereka boleh mengamalkan sikap ini ketika bersama-sama dengan kawan-kawan mereka. Apabila nilai sebegini diterapkan sejak mereka di awal persekolahan maka tidak akan menjadi masalah kepada mereka apabila mereka telah besar kelak.


2.1.3    Nilai Jangan Bersikap Tamak dan Bersyukur
Sifat tamak merupakan satu sifat yang dimiliki oleh seseorang yang membuatkan seseorang individu itu ingin memiliki sesuatu tanpa batasan atau had.  Sifat tamak ini juga disebut sebagai sifat haloba (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).  Sifat ini merupakan salah satu daripada sifat-sifat yang negatif atau dikenali juga sebagai sifat mazmumah.  Sifat ini tidak sewajarnya diamalkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seseorang individu.  Hal ini demikian kerana, sifat tersebut ialah sebahagian daripada sifat-sifat yang dibenci Allah dan disukai syaitan.
            Sehubungan dengan itu, sifat tamak ini boleh dilihat dalam cerita teladan, iaitu kisah “Anjing dan Bayang-bayang”. Sang anjing yang tamak dalam kisah tersebut telah menunjukkan kepada kita bahawa sifat tamak ini tidak akan membawa keuntungan sedikit pun, bahkan hanya kerugian dan mendatangkan kekesalan semata-mata.  Sebagai buktinya, dalam kisah tersebut diceritakan mengenai sang anjing yang sangat tamak akan makanan yang dilihatnya, iaitu tulang.  Pada asalnya, sang anjing telah memiliki sebatang tulang di gonggongannya.  Namun begitu, apabila dilihatnya ada sebatang lagi tulang di dalam sungai yang dilaluinya, sang anjing berasa tamak dan ingin mendapatkannya.  Tanpa disedarinya, sewaktu ingin mengambil tulang yang dilihatnya dalam sungai, tiba-tiba tulang yang sudah sedia ada di mulutnya terlepas.
            Berdasarkan kisah tersebut, dapatlah dilihat akibat daripada sifat tamak tersebut.  Maka, seharusnya sebagai seorang manusia, kita tidak seharusnya bersifat sedemikian.  Bahkan, setiap individu itu mestilah bersyukur meskipun dilihatnya terdapat rezeki lain yang lebih baik yang dimiliki oleh orang lain.  Jangan disebabkan sifat tamak tersebut, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Sehubungan dengan itu, ibu bapa seharusnya memainkan peranannya dengan baik demi memastikan anak-anak mereka dapat mempraktikkan nilai ini dalam kehidupan seharian mereka.  Hal ini demikian kerana, sifat ini sangat diperlukan untuk mewujudkan individu yang bernilai tinggi dari sudut moral serta etikanya.
            Para guru pula bolehlah menyelitkan unsur atau nilai ini dalam pengajaran mereka secara tidak langsung.  Hal ini sangat penting bagi membentuk modal insan yang terbaik demi masa hadapan yang terbilang.  Apabila murid-murid mengamalkan sifat pemurah dan bersyukur atas apa-apa perkara yang dihadapinya. Secara tidak langsung, murid-murid dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian mereka.  Apabila berhadapan dengan sesuatu situasi yang tidak menyenangkan seperti kekurangan makanan atau kelaparan, mereka akan segera mengingati nikmat yang telah Allah kurniakan  kepada mereka dan bersyukur atas segala-galanya.
            Selain itu, mereka juga tidak akan bersifat tamak.  Hal ini demikian kerana, mereka telah diajar agar tidak mengamalkan sikap tamak tersebut daripada kisah “Anjing dan Bayang-bayang”.  Tambahan lagi, murid-murid juga diingatkan bahawa sifat tamak hanya akan mendatangkan kerugian kepada diri sendiri.
2.1.4    Nilai Jangan Sombong
Sombong yang juga disebut sebagai tinggi hati, angkuh, bongkak, congkak dan pongah (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010) merupakan sifat yang sangat perlu dielakkan oleh semua individu.  Hal ini demikian kerana, melalui sifat tersebut, ramai orang yang akan semakin menjauh dan tidak suka dengan kehadiran kita.  Hal ini dapat digambarkan dalam kisah “Sang Merak dan Sang Gagak”.
            Pada asalnya, kedua-dua ekor haiwan ini bersahabat baik dan mereka masing-masingnya tidak mempunyai sebarang warna pada tubuh mereka.  Pada suatu hari, Sang Merak telah terjumpa beberapa tong cat yang pelbagai warna.  Maka, dia telah menyuarakan pandangannya kepada Sang Gagak untuk mewarnakan badan mereka. Sang Gagak pun bersetuju dengan cadangan tersebut dan memulakan untuk mewarnakan Sang Merak terlebih dahulu dan diikuti oleh Sang Merak mewarnakan Sang Gagak.
            Walau bagaimanapun, Sang Merak yang ketika itu sudah kelihatan cantik telah melakukannya dengan sambil lewa.  Sang Merak berasa sangat bangga dengan kecantikan yang dimiliknya.  Akhirnya, Sang Gagak dicurahkan dengan satu tin pewarna hitam ke atas tubuhnya.  Maka, hitamlah seluruh badan Sang Gagak dan sebaik sahaja Sang Gagak mengetahuinya, ia merasa sangat marah dan segera mencari Sang Merak yang ketika itu sudah membawa diri jauh ke dalam rimba akibat takut dimarahi oleh Sang Gagak.
            Berdasarkan kisah tersebut, dapatlah dilihat kesan sifat sombong yang dimiliki oleh Sang Merak.  Ia terlalu bangga dan berasa tinggi diri dengan kecantikan yang dimilikinya.  Dalam masa yang sama, dia terlupa bahawa Sang Gagaklah yang telah membantunya untuk mendapatkan warna yang cantik pada badannya.
            Justeru, sewaktu pembelajaran dengan murid-murid prasekolah, nilai merendah diri dapatlah diterapkan ke dalam diri mereka secara tidak langsung.  Sebagai contohnya, sekiranya salah seorang daripada murid-murid tersebut dapat melakukan kerja sekolah dengan baik dan cantik, murid tersebut haruslah diingatkan agar tidak meninggi diri dengan kelebihan yang dimilikinya.
            Sebaliknya, murid-murid bolehlah diingat dan dianjurkan supaya meniru sifat yang ada pada Sang Gagak, iaitu baik hati dan merendah diri.  Hal ini dapat dilihat melalui sikap yang ditonjolkannya sewaktu Sang Merak mencadangkannya untuk mewarnai badan masing-masing.  Meskipun Sang Gagak mempunyai kemahiran dalam mewarnai, namun ia tidak membangga diri berbanding Sang Merak.

2.1.5    Nilai Jangan Suka Menipu
Berdasarkan kisah “Sang Gajah dan Sang Kancil” tersebut, terdapat beberapa nilai yang boleh kita ambil dari kisah tersebut. Antaranya ialah nilai jangan suka menipu. Amalan suka menipu tidak elok diamalkan dalam kehidupan seharian kerana kelak kita tidak akan dipercayai oleh orang lain lagi, terutamanya orang yang pernah termakan dengan tipu daya kita. Hal yang demikian kerana, sekali kita menipu orang, selamanya mereka tidak akan pernah mempercayai kita. Perkara ini akan mengundang masalah kepada kita apabila kita menghadapi sesuatu kesulitan dan ingin memberitahu kepada orang lain. Sudah tentu mereka tidak akan mempercayai kita lagi kerana sudah beberapa kali tertipu dengan muslihat kita. Walaupun kita sedaya upaya memberitahu perkara sebenar, tetapi kita tetap tidak boleh kembalikan semula kepercayaan mereka terhadap kita. Jelasnya, sikap suka menipu akan membawa kerugian kepada kita sendiri.
            Oleh itu, nilai jangan suka menipu hendaklah kita terapkan dalam diri kanak-kanak sejak mereka kecil lagi. Ibu bapa dan guru-guru perlu memainkan peranan yang penting dalam membentuk sikap amanah dan jujur dalam diri kanak-kanak tersebut. Ibu bapa perlu tunjukkan contoh dan tauladan yang baik kepada anak-anak. Hal ini penting supaya dapat mengelakkan mereka dari terbiasa dengan sikap sebegini dan bimbang akan berlarutan hingga ke dewasa. Jika kita dapati mereka ada mengamalkan sikap suka menipu, kita hendaklah segera memberitahu kepada mereka bahawasanya sikap suka menipu ini adalah sikap yang dibenci oleh Allah dan berdosa jika kita melakukannya. Selain itu, jika kita menipu, orang disekeliling kita juga tidak akan mempercayai kita lagi dan tidak mahu berkawan dengan kita. Oleh itu, kita perlulah tanamkan dalam diri kanak-kanak sifat amanah supaya mereka sentiasa disenangi oleh masyarakat dan menjadi insan yang berguna.

3.1       Penerapan Nilai Melalui Kisah Nabi
Kanak-kanak di peringkat umur empat hingga tujuh tahun belajar sesuatu daripada pemerhatian dan perasaan mereka. Oleh itu, salah satu cara untuk menerapkan nilai murni dalam diri mereka adalah melalui kisah-kisah nabi. Kisah-kisah nabi ini mempunyai banyak nilai yang boleh diterapkan dalam diri kanak-kanak. Kisah nabi ini juga bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak sahaja tetapi ianya sesuai untuk semua peringkat umur. Tetapi bagi golongan kanak-kanak ini penerangan yang bersesuaian hendaklah diberikan kepada mereka. Hal ini kerana, setiap orang nabi mempunyai nilai-nilai murni yang boleh dijadikan contoh kepada kanak-kanak. Kanak-kanak ini sebenarnya ibarat kain putih ibu bapalah yang mencorakkannya sama ada hendak didik menjadi baik atau sebaliknya. Berdasarkan pepatah ini amatlah bersesuaian jika kanak-kanak di awal persekolahan telah didik dengan akhlak soleh para nabi.  
3.1.1    Nilai Jangan Melanggar Perintah Allah
Berdasarkan kisah “Nabi Adam” tersebut, terdapat beberapa nilai yang boleh kita ambil daripada kisah tersebut. Antaranya ialah nilai jangan sekali-kali kita melanggar perintah Allah. Sikap suka melanggar perintah Allah ini sangat dimurkai Allah dan Allah tidak suka hamba-Nya yang suka melanggar perintah-Nya. Hal yang demikian kerana, apabila kita sudah berani melanggar perintah Allah, sudah tentu kita akan berani juga untuk melakukan kejahatan yang lain seperti mencuri, merompak, derhaka kepada ibu bapa, berzina dan sebagainya. Setersnya akan menjadikan kita insan yang ganas dan berakhlak yang kurang baik. Perkara ini akan menjadikan kita sering dijauhi dan digeruni oleh masyarakat setempat. Berdasarkan kisan Nabi Adam pula, selepas baginda melanggar perintah Allah, Allah terus murka kepada baginda dan Hawa. Walaupun Nabi Adam dan Hawa telah memohon keampunan kepada Allah, dan Allah telah mengampuni mereka, tetapi Allah tetap menurunkan mereka ke bumi dan menjadi khalifah yang bertujuan untuk beribadat kepada Allah.
Oleh itu, kisah-kisah tauladan seperti kisah Nabi Adam ini perlulah kita ceritakan kepada kanak-kanak supaya dapat memberi pengajaran kepada mereka terhadap kesan-kesan yang akan berlaku jika kita melanggar perintah Allah. Mereka juga perlu didedahkan dengan kisa-kisah pengajaran yang lain supaya dapat meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri mereka untuk sentiasa mentaati segala perintah Allah. Ibu bapa dan guru-guru perlulah bijak memainkan peranan dalam melahirkan individu muslim yang sejati dalam diri kanak-kanak tersebut. Selain itu, mereka perlu diberitahu bahawasanya jika kita melanggar perintah Allah, kita bukan sahaja mendapat balasan di dunia, malah kita juga akan mendapat balasan di akhirat dengan balasan yang lebih berat lagi. Hal ini akan menjadikan mereka takut untuk melakukan kejahatan, kerana setiap kejahatan yang dilakukan sudah tentu akan melanggar perintah Allah dan menyebabkan Allah murka kepada kita. Dalam masa yang sama nilai-nilai murni dapat diterapkan dalam diri mereka dan menjadikan mereka insan yang berguna.
3.1.2    Nilai Kemanusiaan
 Melalui kisah Nabi Sulaiman dengan semut hitam, kita dapat mempelajari nilai kemanusiaan iaitu sikap tolong menolong yang ditunjukkan oleh baginda. Hal ini dapat dilihat melalui perwatakan baginda yang mengasihi binatang iaitu semut. Baginda mengambil berat akan kehidupan semut hitam tersebut. Nilai ini merupakan salah satu nilai yang mulia dan patut dicontohi. Kita sebagai seorang manusia haruslah mempunyai nilai kemanusiaan iaitu tolong-menolong terhadap makhluk lain tidak mengira manusia mahupun binatang. Dengan rezeki yang kita peroleh dengan mudah, tidak salah jika kita menolong makhluk lain contohnya semut hitam seperti dalam kisah Nabi Sulaiman ini. Rezeki yang diperoleh perlu dikongsi bersama-sama.
            Nilai kemanusiaan ini amat wajar diajar kepada kanak-kanak. Mereka perlu tahu apa itu kasih-mengasihi antara satu sama lain bukan hanya kepada manusia sahaja. Nabi Sulaiman yang amat mengambil berat akan semut tersebut risau akan cara semut itu untuk hidup di kawasan padang pasir yang tandus itu. Dengan memberikan makanan kepada semut tersebut, baginda berasa lega. Oleh hal yang demikian, kita seharusnya menerapkan nilai-nilai yang baik ini kepada para pelajar sejak mereka kecil lagi. Kanak-kanak seharusnya diajar dengan sikap-sikap yang baik supaya mereka terbiasa dengan nilai-nilai sebegini. Hal ini dapat mengelakkan mereka daripada melakukan perkara-perkara yang tidak elok pada masa akan datang. Seperti yang kita lihat pada masa kini, pelbagai masalah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak perlu diterapkan dengan nilai-nilai yang baik sejak mereka kecil.
3.1.3    Nilai Jangan Mudah Marah
Melalui kisah Nabi Yunus ini, kita dapat mempelajari nilai jangan mudah berputus asa. Hal ini dapat dilihat melalui kisah Nabi Yunus yang berputus asa setelah dakwahnya terhadap warga Ninawa ditolak. Penduduk Ninawa tidak mahu menerima ajaran serta dakwah yang disampaikan oleh Baginda. Penolakan ini menyebabkan baginda marah dan berputus asa. Sikap berputus asa yang ditunjukkan oleh baginda telah menyebabkan kemurkaan Allah. Dengan kasih sayang Allah, baginda ditelan dan dipelihara dengan elok di dalam perut ikan nun setelah dibuang ke dalam laut oleh kapal yang ditumpanginya. Melalui kisah ini, kanak-kanak perlu diterapkan dengan sikap jangan mudah berputus asa dalam apa jua perkara sekalipun. Sebagai contoh, mereka tidak boleh berputus asa walaupun tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Tambahan pula Allah tidak suka akan orang yang mudah berputus asa dalam melakukan sesuatu. Kita sepatutnya berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya. Penerapan nilai tidak mudah berputus asa berdasarkan kisah nabi Yunus ini akan meyakinkan kanak-kanak supaya lebih gigih berusaha untuk mencapai kejayaan.
3.0       Penutup
Kesimpulannya, penerapan nilai-nilai murni melalui karya genre sastera kepada pelajar sekolah rendah adalah satu perkara yang amat berkesan dalam bidang pendidikan. Penerapan nilai-nilai murni melalui cerita-cerita teladan dan kisah nabi ini boleh dijadikan contoh oleh kanak-kanak prasekolah. Tambahan lagi cerita teladan dan kisah nabi ini adalah genre sastera yang biasa dan ringan sahaja pembawaannya dan amat sesuai untuk golongan kanak-kanak.
            Untuk lebih menarik minat pelajar prasekolah untuk mempelajari sastera ia boleh diajarkan melalui blog. Sekarang guru-guru telah mempelbagaikan kaedah pengajaran seperti menggunakan blog sebagai salah satu kaedahnya. Pengajaran melalui blog ini sebenarnya dapat menarik minat pelajar dengan lebih lagi kerana blog yang digunakan untuk pengajaran mempunyai animasi yang menarik, audio, grafik dan sebagainya.



Aktiviti Pengajaran

1. Tayangan video lagu huruf vokal




2. Kisah "Ikan Kecil dan Beruang"







3. Melukis Beruang sambil menyanyi










4. Pembahagian kumpulan






5. Membuat kolaj ikan secara berkumpulan








6. Memancing ikan secara berkumpulan





7. Rumusan





Thursday, 24 April 2014

NABI ADAM A.S

Nabi Adam diciptakan daripada segumpal tanah liat kering yang berasal dari lumpur hitam yang diberi bentuk.

Semua makhluk diperintahkan sujud tanda hormat kepada Adam tapi iblis ingkar kerana berasa diri lebih mulia dari Adam yang diciptakan daripada tanah. Allah murka kepada iblis lalu iblis dikeluarkan dari syurga serta mendapat laknat Allah. Iblis berjanji untuk menyesatkan umat manusia.

Allah menciptakan Hawa dari tulang rusuk Adam untuk mengubat kesunyian Adam. Adam dan Hawa tinggal alam syurga tapi dilarang memakan buah suatu pohon.

Iblis memperdaya Adam dan Hawa untuk melanggar perintah Allah hingga Allah murka kepada Adam dan Hawa. Adam dan Hawa memohon keampunan Allah, lalu diampunkan.

Adam dan Hawa diturunkan ke bumi dan keturunannya (manusia) menjadi khalifah yang akan memakmurkan bumi.




NABI NUH A.S

Nabi Nuh adalah nabi keempat sesudah Nabi Adam, Nabi Syith dan Nabi Idris dan keturunan kesembilan dari Nabi Adam. Ayahnya adalah Lamik bin Metusyalih bin Idris

Kaum Nuh menyembah berhala yang mereka hasilkan dengan tangan mereka sendiri. Nabi Nuh mengajak kaumnya menyembah Allah dengan pelbagai cara namun tidak berhasil.

Nabi Nuh berada di tengah-tengah kaumnya selama 950 tahun berdakwah. Namun, hanya sekelompok kecil kaumnya yang tidak mencapai seramai seratus orang sahaja yang beriman.

Allah berfirman:

"Sesungguhnya tidak akan seorang daripada kaummu yang mengikutimu dan beriman kecuali mereka yang telah mengikutimu dan beriman lebih dahulu, maka janganlah engkau bersedih hati kerana apa yang mereka perbuatkan."

Baginda memohon kepada Allah S.W.T. agar menurunkan azab-Nya di atas kaumnya dan doa baginda dikabulkan. Allah memerintahkan Nabi Nuh membuat sebuah bahtera. Nabi Nuh membawa burung, binatang buas, binatang yang berpasang-pasangan, sapi, gajah, semut, dan lain-lain. Dalam bahtera itu, Nabi Nuh telah membuat kandang binatang buas.

Allah menjadikan banjir besar dan semua makhluk musnah kecuali yang berada dalam bahtera Nuh seperti yang diperintahkanNya. Setelah surut, bahtera Nuh berlabuh di Judie atas perintah Allah.




NABI SULAIMAN A.S



Nabi Sulaiman merupakan anak Nabi Daud. Sejak kecil lagi baginda telah menunjukkan kecerdasan dan ketajaman fikirannya. Setelah kewafatan ayahandanya, Nabi Sulaiman diangkat menjadi raja di kerajaan Bani Israel.

Beliau berkuasa bukan hanya ke atas manusia, namun juga haiwan dan jin. Baginda juga memiliki pelbagai keistimewaan, termasuk mampu bercakap, memahami dan memberi arahan terhadap jin dan haiwan sehingga semua makhluk itu mengikuti kehendaknya.


Pada zaman Nabi Allah Sulaiman, telah berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman ternampak seekor semut melata di atas batu, lantas Nabi Sulaiman merasa hairan bagaimana semut itu hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus.


Baginda bertanya kepada semut itu : "Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan secukupnya untuk kamu hidup di sini?".
Semut pun menjawab : "Aku percaya pada rezeki Allah'.
Selepas itu Nabi Sulaiman tanya semut itu :"Wahai semut,berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?". Semut pun menjawab :"Aku hanya makan sebiji gandum sebulan".
Jadi, Nabi Sulaiman bercadang untuk tolong semut itu memandangkan semut itu hanya makan sebiji gandum sahaja untuk sebulan..







Nabi Sulaiman pun meletakkan semut itu dengan sebiji gandum ke dalam satu bekas dan tinggalkan semut tu di situ selama satu bulan. Bila cukup satu bulan baginda pun datang semula ke tempat itu. Selepas itu Nabi Sulaiman tengok semut itu hanya makan separuh sahaja gandum tu.
Lalu Nabi Sulaiman menemplak semut tu : "Rupanya kamu berbohong pada aku! Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu hanya makan setengah saja".


Jawab semut : " Aku tidak berbohong,kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apa pon sehingga sama banyaknya dengan sebiji gandum sebulan,kerana makanan itu aku cari dan rezeki itu datang dari Allah,Allah tidak pernah lupa pada aku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tidak percaya pada kamu, sebab itulah aku cuma makan separuh saja supaya tahan dua bulan. aku takut kamu lupa untuk datang kepadaku pada bulan seterusnya".





NABI YUNUS A.S



Nabi Yunus bin Matta telah diutuskan oleh Allah untuk berdakwah kepada penduduk di sebuah tempat bernama Ninawa yang bukan kaumnya dan tidak pula ada ikatan darah dengan mereka.

Ajaran-ajaran Nabi Yunus itu bagi para penduduk Ninawa merupakan hal yang baru yang belum pernah mereka dengar sebelumnya lalu mereka tidak dapat menerimanya. Ini menyebabkan baginda meninggalkan Ninawa dengan rasa jengkel dan marah.

Nabi Yunus menumpangi sebuah kapal tetapi kapal yang dinaiki baginda dilanda ombak besar dan tak dapat dikawal. Pengemudi kapal mengadakan undian untuk memilih siapa yang akan dibuang dari kapal bagi meringankan muatan kapal. Nabi Yunus terpilih walaupun setelah tiga kali undian.

Sepeninggalan Nabi Yunus, penduduk Ninawa mulai melihat tanda-tanda yang mencemaskan seakan-akan ancaman Nabi Yunus kepada mereka akan menjadi kenyataan dan hukuman Allah akan benar-benar jatuh di atas mereka. Untuk menebus dosa, mereka keluar dari kota dan beramai-ramai pergi ke bukit-bukit dan padang pasir, seraya menangis memohon ampun dan rahmat Allah agar dihindarkan dari bencana azab dan seksaan-Nya.

Di dalam laut, dengan kasih sayang Allah, tiba-tiba datang seekor ikan Nun (paus) yang sangat besar menelan Nabi Yunus a.s. Nabi Yunus a.s. disimpan di dalam perut ikan Nun dalam keadaan selamat. Di dalam perut ikan itu Nabi Yunus a.s. berdoa, “sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah”.

Ikan Nun tersebut sudah diperintahkan oleh Allah S.W.T supaya menjaga Nabi Yunus di dalam perutnya. Ketika itu, ikan Nun terlalu lapar kerana sejak pagi, ikan tersebut tidak makan apa-apa. Apabila ikan Nun hendak makan anak-anak ikan lain, ikan Nun teringat kepada manusia mulia yang berada di dalam perutnya. Jika ikan Nun makan, sudah pasti Nabi Yunus akan tercedera dan ikan Nun mengambil keputusan untuk berpuasa demi menjaga keselamatan manusia mulia itu. Ikan Nun berasa gembira dapat berkhidmat kepada insan mulia itu.

Walaupun berada dalam kesusahan, ikan Nun berenang untuk meneruskan perjalanannya ke lautan luas. Walaupun badannya semakin lemah tetapi terus juga berenang dengan semangat yang kuat dan memohon pertolongan Allah. Tiba hari keempat, ikan Nun tiba di sebuah pulau yang indah. Perlahan-lahan ikan Nun membuka mulutnya seluas-luasnya supaya Nabi Yunus tidak cedera dan dapat keluar dengan selamat. Selepas itu, ikan Nun pun berenang ke dalam laut untuk mencari makanan pada hari itu ikan Nun akan berbuka puasa. Apa-apa yang ditemuinya nanti itulah rezekinya. Demikianlah pengorbanan ikan Nun kepada Nabi Yunus a.s.

Nabi Yunus diperintahkan supaya kembali ke Ninawa. Sebaik kembali, Nabi Yunus terkejut dan bersyukur melihat keadaan kaumnya yang sudah bertaubat dan kembali kepada Allah.

NABI MUHAMMAD S.A.W

Nabi Muhammad S.A.W dilahirkan pada 12 Rabiul Awal tahun Gajah di Makkah. Bapa baginda, Abdullah bin Abdul Mutallib telah wafat sewaktu baginda 7 bulan dalam kandungan ibunya, Aminah binti Wahab.

Ibu susuan baginda ialah wanita dari Banu Sa'ad yang bernama Halimah bin Abi-Dhuaib. Ibu baginda meninggal di Abwa ketika baginda berumur 6 tahun. Nabi Muhammad S.A.W dipelihara oleh datuknya, Abdul Mutallib yang meninggal dunia sewaktu baginda berumur 8 tahun.

Kemudian baginda diasuh oleh bada saudaranya, Abu Talib. Mereka berkunjung ke negeri Syam untuk berdagang sewaktu Nabi Muhammad S.A.W berusia 12 tahun dan bertemu dengan seorang rahib Kristian yang dapat melihat tanda-tanda kenabian pada baginda.

Nabi Muhammad S.A.W diberikan gelaran al-Amiin di atas sifat-sifat baginda yang terpuji. Ketika baginda mula meningkat dewasa, baginda disuruh oleh bapa saudaranya untuk membawa barang-barang dagangan Khadijah binti Khuwailid.

Baginda berkahwin dengan Khadijah binti Khuwailid yang berumur 40 tahun sewaktu baginda berumur 25 tahun. Mereka dikurniakan 7 orang putera dan puteri. Anakanda-anakanda Rasulullah S.A.W ialah Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalthum, Siti Fatimah, Qasim, Abdullah dan Ibrahim. Kesemua anakanda lelaki diwafatkan Allah SWT semasa kecil mereka.

Pada usia 40 tahun, Nabi Muhammad S.A.W telah menerima wahyu yang pertama dan diangkat sebagai nabi sekelian alam di gua Hira'. Khadijah, isteri baginda adalah wanita pertama yang mempercayai kenabian baginda. Ali bin Abi Talib adalah lelaki pertama yang beriman dengan ajaran baginda.

Baginda berdakwah selama 3 tahun secara sembunyi sebelum turun wahyu memerintahkan baginda untuk berdakwah secara terang-terangan.

Penduduk Quraisy menentang keras ajaran yang dibawa oleh baginda. Baginda menghadapi pelbagai tekanan, dugaan, penderitaan, cemuhan dan ejekan daripada penduduk-penduduk Makkah yang jahil dan keras hati untuk beriman dengan Allah

Khadijah serta Abu Talib wafat pada tahun ke-10 kenabiannya. Setelah sampai perintah Allah, Rasulullah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah berikutan ancaman daripada kafir Quraisy untuk membunuh baginda. Rasulullah disambut dengan meriahnya oleh para penduduk Madinah. Seruan baginda diterima baik oleh kebanyakan para penduduk Madinah. Sebuah negara Islam didirikan di bawah pimpinan Rasulullas S.A.W sendiri.

Baginda telah wafat pada bulan Jun tahun 632M bersamaan dengan 12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah. Baginda wafat setelah selesai melaksanakan tugasnya sebagai rasul dan pemimpin negara. Baginda berjaya membawa manusia ke jalan yang benar dan menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab, berilmu dan berkebolehan.

Rasulullah S.A.W adalah contoh terbaik bagi semua manusia sepanjang zaman.