Di sebuah hutan tebal terdapat seekor beruang yang besar sedang kelaparan menunggu untuk menangkap ikan-ikan yang melompat dari air di sebatang sungai yang deras airnya. Dari pagi ia menunggu tetapi tidak seekorpun ikan dapat ditangkapnya. Kebetulan pada masa itu tidak terdapat banyak ikan.
Walaubagaimanapun ia terus bersabar dan terus mencuba tanpa berputus asa. Akhirnya berkat kesabaran ia dapat juga menangkap seekor ikan kecil. Ikan kecil yang tertangkap menjerit-jerit ketakutan dan berkata “wahai beruang, tolonglah lepaskan aku”. Tanya pula beruang “kenapa aku harus melepaskanmu?”. Jawab ikan “tidakkah kau melihat aku ini terlalu kecil untuk mu dan hanya melekat di celah-celah gigi mu”.
Ikan seterusnya memberikan cadangan “beginilah beruang, kau lepaskanlah aku ke sungai untuk aku terus membesar, selepas beberapa bulan kau tangkaplah aku semula dan makanlah aku untuk memenuhi seleramu”.
Beruang bertanya lagi “wahai ikan, tahukah engkau kenapa badanku boleh besar begini?”. Ikan menggeleng-gelengkan kepala tidak tahu sambil bertanya “mengapa?”. Beruang sambil tersenyum berkata “kerana aku tidak pernah melepaskan peluang walau sekecil manapun peluang yang terhidang di hadapanku”.









0 comments:
Post a Comment