Monday, 28 April 2014

PENULISAN ILMIAH












BSS 3073: KESUSASTERAAN MELAYU DALAM PEMBINAAN MODAL INSAN

TAJUK

PENULISAN ILMIAH:
MODUL PENGAJARAN TENTANG NILAI KEPADA PELAJAR PRASEKOLAH


 DISEDIAKAN OLEH
NAMA
NO. MATRIK
NURUL NAJIHAH BT RAMLI
D20111047545
ZAKIAH NOOR BT CHE ZAKARIA
D20111047583
NOR RASYIDAH BT ZAKARIA
D20111047599
NOR HAYATI BT MOHAMAD
D20111047609
NURUL ADILA BT MOHD SALEH
D20111047667


KUMPULAN A

PENSYARAH: DR. NORAZIMAH BINTI ZAKARIA

Tarikh Hantar: 8 MEI 2014




1.0       Pengenalan
Pendidikan prasekolah adalah pendidikan asas yang penting dan ia telah mendapat perhatian di semua masyarakat kerana ia merupakan pendidikan awal dalam perkembangan hidup seseorang individu. Selain mendapat pendidikan awal di rumah, pendidikan prasekolah merupakan permulaan dalam proses pembelajaran seseorang individu. Program pendidikan prasekolah yang terdapat di negara kita adalah terdiri daripada golongan pelajar yang berumur dalam lingkungan empat hingga enam tahun.
            Matlamat utama pendidikan prasekolah adalah untuk menyuburkan potensi dalam semua aspek. Hal ini bersesuaian dengan matlamat tersebut agar menerapkan pembelajaran tentang kesusasteraan. Dengan penerapan kesusasteraan bermula daripada prasekolah lagi akan memudahkan kerja guru di samping telah memberikan pendedahan awal kepada pelajar tentang kesusasteraan. Kesusasteraan kanak-kanak merupakan semua jenis penulisan kreatif dan imaginatif yang sememangnya dikhususkan untuk bahan bacaan dan hiburan kanak-kanak. Menurut Hadijah Rahmat (2006:1), kesusasteraan kanak-kanak ini meliputi keseluruhan buku yang bermutu dan berfaedah yang ditulis untuk bacaan kanak-kanak yang merangkumi bidang fiksyen dan bukan fiksyen.
            Di samping itu, kebanyakan buku sastera kanak-kanak lebih menarik minat dan perhatian kanak-kanak kerana mereka sememangnya mempunyai kecenderungan semula jadi terhadap sesuatu yang berunsurkan kreatif dan imaginatif. Dengan arus kemajuan negara telah menjadikan kesusasteraan kanak-kanak begitu penting. Hal ini kerana, kebanyakan ibu bapa kanak-kanak ini bekerja oleh itu, mereka ada yang terpaksa membiarkan anak-anak mereka melakukan aktiviti sendiri. Hal ini menyebabkan membaca merupakan salah satu aktiviti yang baik bagi mengisi masa lapang kanak-kanak tersebut.
            Bagi memudahkan lagi pengajaran kesusasteraan pada zaman sekarang guru boleh menggunakan pelbagai multimedia untuk pengajaran kesusasteraan. Sebagai contoh, penggunaan blog boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran sebagai salah satu kaedah pengajaran yang berkesan. Pengajaran melalui blog ini sebenarnya dapat menarik perhatian pelajar kerana sebagai guru ia telah melakukan satu kelainan daripada pengajaran yang biasa. Kanak-kanak sebenarnya akan mudah tertarik dengan cara pengajaran sebegini kerana paparan melalui blog yang kebanyakannya menarik.
1.1       Konsep Modal Insan
Modal insan bukanlah sesuatu yang baharu. Ia bermula sejak dari zaman lampau lagi sehinggakan kita tidak dapat mengenal pasti sudah berapa lama modal insan ini wujud. Modal insan ini merupakan peri pentingnya dalam kehidupan seseorang insan. Abdul Fatah Hassan (2001:68) ada menyatakan bahawa sesuatu yang dipandang berharga itu, semestinya mengandungi nilai. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya nilai yang positif dalam setiap diri individu. Allah S.W.T sendiri menitikberatkan tentang modal insan setiap individu, (Aidit, 2008).
            Menurut Yahya, Aziah dan Yaacob, (2006) matlamat persekolahan adalah mencorak dan membentuk sumber manusia yang berpotensi menjana pembangunan negara. Oleh itu, untuk mengelakkan sastera ini tidak terus hilang dalam arus pembangunan maka tepatlah hasrat kerajaan memastikan kesusasteraan ini diajarkan sejak dari prasekolah lagi. Penerapan nilai-nilai murni melalui teks kesusasteraan adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu. Di samping itu, ia juga dapat menentang berlakunya penularan pelbagai masalah dalam kalangan masyarakat yang berpunca dari kepelbagaian teknologi yang mengheret remaja dan masyarakat dengan pelbagai gejala.
                       
1.2       Konsep Nilai Murni
Nilai murni dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, tatasusila dan peradaban seseorang individu dalam hubungannya sesama manusia, alam dan yang paling utama dengan penciptanya. Nilai murni sesuatu masyarakat kebiasaannya diasaskan kepada agama. Sememangnya menjadi suatu tujuan yang utama dalam setiap agama terutama agama Islam untuk membentuk kehidupan penganutnya menjadi baik dan berakhlak mulia.
            Falsafah Pendidikan Negara (FPN) telah menggariskan bahawa pendidikan di Malaysia merupakan satu usaha berterusan ke arah perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Secara keseluruhannya dapat difahami bahawa FPN ini menjurus ke arah mencirikan insan dan warganegara yang baik.
            Kesedaran tentang kepentingan penerapan nilai-nilai murni sangat perlu terutama dalam kalangan ibu bapa dan guru. Nilai-nilai murni perlu disemai dan dibajai mulai zaman kanak-kanak lagi.  Kanak-kanak ibarat kain putih yang perlu dicorakkan dengan warna-warna nilai yang baik. Oleh itu, ibu bapa dan guru masing-masing memainkan peranan dalam memberikan contoh teladan yang baik kepada kanak-kanak agar mereka dapat menjadikan diri mereka sesuai dengan akhlak yang dipertontonkan.
            Asas kepada proses pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak dalam membentuk peribadi dan akhlak mulia mula diterapkan dari pendidikan pra sekolah lagi. Ada kalanya nilai-nilai murni tidak hanya terdapat di dalam silibus pengajaran sahaja tetapi secara tidak langsung ia diterapkan melalui komunikasi yang baik antara guru dan murid yang secara terus dapat mempengaruhi penanaman nilai dan akhlak mulia.
2.0       Analisis Kajian
2.1       Penerapan Nilai Melalui Kisah Teladan
Kisah teladan merupakan kisah yang mempunyai unsur didaktik, pendidikan moral dan memberi pengajaran atau teladan. Pengajaran dan teladan ini lebih memberikan tumpuan kepada kanak-kanak dan kebanyakannya merupakan pendidikan moral. Kisah-kisah teladan ini sesuai dijadikan contoh kepada kanak-kanak kerana ia mempunyai struktur cerita yang sederhana dan tidak berbelit-belit seperti cerita penglipurlara. Kebanyakan ceritanya adalah mengikut kronologi yang sangat mudah untuk difahami. Kisah teladan ini juga sering mengetengahkan cerita tentang watak baik yang akan mendapat balasan yang baik dan watak jahat yang akan mendapat balasan yang buruk. Hal ini, bolehlah dijadikan teladan kepada kanak-kanak. Di samping itu, ia disampaikan secara bersahaja dan menggunakan gaya pertuturan seharian.
2.1.1    Nilai Kesabaran
Kesabaran merupakan salah satu sikap yang paling penting bagi setiap manusia. Kesabaran adalah asas yang penting ke arah membentuk perilaku dan sifat yang mendapat keredaan Allah. Dalam konteks Islam, sabar merupakan salah satu dari sifat mahmudah yang perlu dan mesti wujud dalam diri setiap manusia. Secara jelasnya dapat difahami bahawa sabar adalah suatu sikap tenang, tabah, redha dan ikhlas dalam menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan serta sentiasa berusaha mengatasinya.
            Nilai kesabaran ini perlu diterapkan kepada kanak-kanak pada peringkat pra sekolah lagi. Sikap sabar dapat dilihat dalam kisah ‘Ikan Kecil dan Beruang’ apabila seekor beruang yang kelaparan sanggup menunggu dari pagi hingga ke petang untuk menangkap ikan di dasar sungai. Hal ini demikian kerana, beruang itu yakin usahanya untuk mendapatkan makanan akan berhasil jika dia terus menunggu. Sikap sabar seekor binatang ini boleh dicontohi oleh setiap manusia.
2.1.2    Nilai Tolong-menolong
Nilai tolong-menolong pasti tidak akan ketinggalan apabila kita membaca cerita-cerita teladan. Penerapan nilai tolong-menolong ini haruslah diterapkan sejak kanak-kanak kecil lagi. Penerapan nilai tolong-menolong ini adalah penting untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kanak-kanak prasekolah ini perlulah diberikan contoh teladan yang biak kerana pada peringkat umur mereka ini mereka mudah mengikuti apa yang dilakukan oleh orang yang lebih dewasa daripada mereka. Kanak-kanak ini hendaklah dilatih dengan menolong seperti menolong guru membawa buku atau membantu rakan-rakan. Sikap tolong-menolong ini juga adalah sifat yang terpuji dan amat disukai oleh Allah S.W.T.
            Nilai ini dapat dilihat dalam cerita “Semut dan Burung Merpati”. Dalam cerita ini dapat dilihat sikap tolong-menolong antara semut dan burung merpati, di mana pada mulanya burung merpati telah menolong semut ketika semut terjatuh ke dalam sungai dan selepas itu semut telah menolong burung merpati ketika burung merpati nyaris-nyaris ditembak oleh pemburu. Melalui cerita ini telah dapat dijadikan contoh kepada kanak-kanak untuk mengamalkan sikap tolong-menolong. Mereka boleh mengamalkan sikap ini ketika bersama-sama dengan kawan-kawan mereka. Apabila nilai sebegini diterapkan sejak mereka di awal persekolahan maka tidak akan menjadi masalah kepada mereka apabila mereka telah besar kelak.


2.1.3    Nilai Jangan Bersikap Tamak dan Bersyukur
Sifat tamak merupakan satu sifat yang dimiliki oleh seseorang yang membuatkan seseorang individu itu ingin memiliki sesuatu tanpa batasan atau had.  Sifat tamak ini juga disebut sebagai sifat haloba (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).  Sifat ini merupakan salah satu daripada sifat-sifat yang negatif atau dikenali juga sebagai sifat mazmumah.  Sifat ini tidak sewajarnya diamalkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seseorang individu.  Hal ini demikian kerana, sifat tersebut ialah sebahagian daripada sifat-sifat yang dibenci Allah dan disukai syaitan.
            Sehubungan dengan itu, sifat tamak ini boleh dilihat dalam cerita teladan, iaitu kisah “Anjing dan Bayang-bayang”. Sang anjing yang tamak dalam kisah tersebut telah menunjukkan kepada kita bahawa sifat tamak ini tidak akan membawa keuntungan sedikit pun, bahkan hanya kerugian dan mendatangkan kekesalan semata-mata.  Sebagai buktinya, dalam kisah tersebut diceritakan mengenai sang anjing yang sangat tamak akan makanan yang dilihatnya, iaitu tulang.  Pada asalnya, sang anjing telah memiliki sebatang tulang di gonggongannya.  Namun begitu, apabila dilihatnya ada sebatang lagi tulang di dalam sungai yang dilaluinya, sang anjing berasa tamak dan ingin mendapatkannya.  Tanpa disedarinya, sewaktu ingin mengambil tulang yang dilihatnya dalam sungai, tiba-tiba tulang yang sudah sedia ada di mulutnya terlepas.
            Berdasarkan kisah tersebut, dapatlah dilihat akibat daripada sifat tamak tersebut.  Maka, seharusnya sebagai seorang manusia, kita tidak seharusnya bersifat sedemikian.  Bahkan, setiap individu itu mestilah bersyukur meskipun dilihatnya terdapat rezeki lain yang lebih baik yang dimiliki oleh orang lain.  Jangan disebabkan sifat tamak tersebut, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Sehubungan dengan itu, ibu bapa seharusnya memainkan peranannya dengan baik demi memastikan anak-anak mereka dapat mempraktikkan nilai ini dalam kehidupan seharian mereka.  Hal ini demikian kerana, sifat ini sangat diperlukan untuk mewujudkan individu yang bernilai tinggi dari sudut moral serta etikanya.
            Para guru pula bolehlah menyelitkan unsur atau nilai ini dalam pengajaran mereka secara tidak langsung.  Hal ini sangat penting bagi membentuk modal insan yang terbaik demi masa hadapan yang terbilang.  Apabila murid-murid mengamalkan sifat pemurah dan bersyukur atas apa-apa perkara yang dihadapinya. Secara tidak langsung, murid-murid dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian mereka.  Apabila berhadapan dengan sesuatu situasi yang tidak menyenangkan seperti kekurangan makanan atau kelaparan, mereka akan segera mengingati nikmat yang telah Allah kurniakan  kepada mereka dan bersyukur atas segala-galanya.
            Selain itu, mereka juga tidak akan bersifat tamak.  Hal ini demikian kerana, mereka telah diajar agar tidak mengamalkan sikap tamak tersebut daripada kisah “Anjing dan Bayang-bayang”.  Tambahan lagi, murid-murid juga diingatkan bahawa sifat tamak hanya akan mendatangkan kerugian kepada diri sendiri.
2.1.4    Nilai Jangan Sombong
Sombong yang juga disebut sebagai tinggi hati, angkuh, bongkak, congkak dan pongah (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010) merupakan sifat yang sangat perlu dielakkan oleh semua individu.  Hal ini demikian kerana, melalui sifat tersebut, ramai orang yang akan semakin menjauh dan tidak suka dengan kehadiran kita.  Hal ini dapat digambarkan dalam kisah “Sang Merak dan Sang Gagak”.
            Pada asalnya, kedua-dua ekor haiwan ini bersahabat baik dan mereka masing-masingnya tidak mempunyai sebarang warna pada tubuh mereka.  Pada suatu hari, Sang Merak telah terjumpa beberapa tong cat yang pelbagai warna.  Maka, dia telah menyuarakan pandangannya kepada Sang Gagak untuk mewarnakan badan mereka. Sang Gagak pun bersetuju dengan cadangan tersebut dan memulakan untuk mewarnakan Sang Merak terlebih dahulu dan diikuti oleh Sang Merak mewarnakan Sang Gagak.
            Walau bagaimanapun, Sang Merak yang ketika itu sudah kelihatan cantik telah melakukannya dengan sambil lewa.  Sang Merak berasa sangat bangga dengan kecantikan yang dimiliknya.  Akhirnya, Sang Gagak dicurahkan dengan satu tin pewarna hitam ke atas tubuhnya.  Maka, hitamlah seluruh badan Sang Gagak dan sebaik sahaja Sang Gagak mengetahuinya, ia merasa sangat marah dan segera mencari Sang Merak yang ketika itu sudah membawa diri jauh ke dalam rimba akibat takut dimarahi oleh Sang Gagak.
            Berdasarkan kisah tersebut, dapatlah dilihat kesan sifat sombong yang dimiliki oleh Sang Merak.  Ia terlalu bangga dan berasa tinggi diri dengan kecantikan yang dimilikinya.  Dalam masa yang sama, dia terlupa bahawa Sang Gagaklah yang telah membantunya untuk mendapatkan warna yang cantik pada badannya.
            Justeru, sewaktu pembelajaran dengan murid-murid prasekolah, nilai merendah diri dapatlah diterapkan ke dalam diri mereka secara tidak langsung.  Sebagai contohnya, sekiranya salah seorang daripada murid-murid tersebut dapat melakukan kerja sekolah dengan baik dan cantik, murid tersebut haruslah diingatkan agar tidak meninggi diri dengan kelebihan yang dimilikinya.
            Sebaliknya, murid-murid bolehlah diingat dan dianjurkan supaya meniru sifat yang ada pada Sang Gagak, iaitu baik hati dan merendah diri.  Hal ini dapat dilihat melalui sikap yang ditonjolkannya sewaktu Sang Merak mencadangkannya untuk mewarnai badan masing-masing.  Meskipun Sang Gagak mempunyai kemahiran dalam mewarnai, namun ia tidak membangga diri berbanding Sang Merak.

2.1.5    Nilai Jangan Suka Menipu
Berdasarkan kisah “Sang Gajah dan Sang Kancil” tersebut, terdapat beberapa nilai yang boleh kita ambil dari kisah tersebut. Antaranya ialah nilai jangan suka menipu. Amalan suka menipu tidak elok diamalkan dalam kehidupan seharian kerana kelak kita tidak akan dipercayai oleh orang lain lagi, terutamanya orang yang pernah termakan dengan tipu daya kita. Hal yang demikian kerana, sekali kita menipu orang, selamanya mereka tidak akan pernah mempercayai kita. Perkara ini akan mengundang masalah kepada kita apabila kita menghadapi sesuatu kesulitan dan ingin memberitahu kepada orang lain. Sudah tentu mereka tidak akan mempercayai kita lagi kerana sudah beberapa kali tertipu dengan muslihat kita. Walaupun kita sedaya upaya memberitahu perkara sebenar, tetapi kita tetap tidak boleh kembalikan semula kepercayaan mereka terhadap kita. Jelasnya, sikap suka menipu akan membawa kerugian kepada kita sendiri.
            Oleh itu, nilai jangan suka menipu hendaklah kita terapkan dalam diri kanak-kanak sejak mereka kecil lagi. Ibu bapa dan guru-guru perlu memainkan peranan yang penting dalam membentuk sikap amanah dan jujur dalam diri kanak-kanak tersebut. Ibu bapa perlu tunjukkan contoh dan tauladan yang baik kepada anak-anak. Hal ini penting supaya dapat mengelakkan mereka dari terbiasa dengan sikap sebegini dan bimbang akan berlarutan hingga ke dewasa. Jika kita dapati mereka ada mengamalkan sikap suka menipu, kita hendaklah segera memberitahu kepada mereka bahawasanya sikap suka menipu ini adalah sikap yang dibenci oleh Allah dan berdosa jika kita melakukannya. Selain itu, jika kita menipu, orang disekeliling kita juga tidak akan mempercayai kita lagi dan tidak mahu berkawan dengan kita. Oleh itu, kita perlulah tanamkan dalam diri kanak-kanak sifat amanah supaya mereka sentiasa disenangi oleh masyarakat dan menjadi insan yang berguna.

3.1       Penerapan Nilai Melalui Kisah Nabi
Kanak-kanak di peringkat umur empat hingga tujuh tahun belajar sesuatu daripada pemerhatian dan perasaan mereka. Oleh itu, salah satu cara untuk menerapkan nilai murni dalam diri mereka adalah melalui kisah-kisah nabi. Kisah-kisah nabi ini mempunyai banyak nilai yang boleh diterapkan dalam diri kanak-kanak. Kisah nabi ini juga bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak sahaja tetapi ianya sesuai untuk semua peringkat umur. Tetapi bagi golongan kanak-kanak ini penerangan yang bersesuaian hendaklah diberikan kepada mereka. Hal ini kerana, setiap orang nabi mempunyai nilai-nilai murni yang boleh dijadikan contoh kepada kanak-kanak. Kanak-kanak ini sebenarnya ibarat kain putih ibu bapalah yang mencorakkannya sama ada hendak didik menjadi baik atau sebaliknya. Berdasarkan pepatah ini amatlah bersesuaian jika kanak-kanak di awal persekolahan telah didik dengan akhlak soleh para nabi.  
3.1.1    Nilai Jangan Melanggar Perintah Allah
Berdasarkan kisah “Nabi Adam” tersebut, terdapat beberapa nilai yang boleh kita ambil daripada kisah tersebut. Antaranya ialah nilai jangan sekali-kali kita melanggar perintah Allah. Sikap suka melanggar perintah Allah ini sangat dimurkai Allah dan Allah tidak suka hamba-Nya yang suka melanggar perintah-Nya. Hal yang demikian kerana, apabila kita sudah berani melanggar perintah Allah, sudah tentu kita akan berani juga untuk melakukan kejahatan yang lain seperti mencuri, merompak, derhaka kepada ibu bapa, berzina dan sebagainya. Setersnya akan menjadikan kita insan yang ganas dan berakhlak yang kurang baik. Perkara ini akan menjadikan kita sering dijauhi dan digeruni oleh masyarakat setempat. Berdasarkan kisan Nabi Adam pula, selepas baginda melanggar perintah Allah, Allah terus murka kepada baginda dan Hawa. Walaupun Nabi Adam dan Hawa telah memohon keampunan kepada Allah, dan Allah telah mengampuni mereka, tetapi Allah tetap menurunkan mereka ke bumi dan menjadi khalifah yang bertujuan untuk beribadat kepada Allah.
Oleh itu, kisah-kisah tauladan seperti kisah Nabi Adam ini perlulah kita ceritakan kepada kanak-kanak supaya dapat memberi pengajaran kepada mereka terhadap kesan-kesan yang akan berlaku jika kita melanggar perintah Allah. Mereka juga perlu didedahkan dengan kisa-kisah pengajaran yang lain supaya dapat meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri mereka untuk sentiasa mentaati segala perintah Allah. Ibu bapa dan guru-guru perlulah bijak memainkan peranan dalam melahirkan individu muslim yang sejati dalam diri kanak-kanak tersebut. Selain itu, mereka perlu diberitahu bahawasanya jika kita melanggar perintah Allah, kita bukan sahaja mendapat balasan di dunia, malah kita juga akan mendapat balasan di akhirat dengan balasan yang lebih berat lagi. Hal ini akan menjadikan mereka takut untuk melakukan kejahatan, kerana setiap kejahatan yang dilakukan sudah tentu akan melanggar perintah Allah dan menyebabkan Allah murka kepada kita. Dalam masa yang sama nilai-nilai murni dapat diterapkan dalam diri mereka dan menjadikan mereka insan yang berguna.
3.1.2    Nilai Kemanusiaan
 Melalui kisah Nabi Sulaiman dengan semut hitam, kita dapat mempelajari nilai kemanusiaan iaitu sikap tolong menolong yang ditunjukkan oleh baginda. Hal ini dapat dilihat melalui perwatakan baginda yang mengasihi binatang iaitu semut. Baginda mengambil berat akan kehidupan semut hitam tersebut. Nilai ini merupakan salah satu nilai yang mulia dan patut dicontohi. Kita sebagai seorang manusia haruslah mempunyai nilai kemanusiaan iaitu tolong-menolong terhadap makhluk lain tidak mengira manusia mahupun binatang. Dengan rezeki yang kita peroleh dengan mudah, tidak salah jika kita menolong makhluk lain contohnya semut hitam seperti dalam kisah Nabi Sulaiman ini. Rezeki yang diperoleh perlu dikongsi bersama-sama.
            Nilai kemanusiaan ini amat wajar diajar kepada kanak-kanak. Mereka perlu tahu apa itu kasih-mengasihi antara satu sama lain bukan hanya kepada manusia sahaja. Nabi Sulaiman yang amat mengambil berat akan semut tersebut risau akan cara semut itu untuk hidup di kawasan padang pasir yang tandus itu. Dengan memberikan makanan kepada semut tersebut, baginda berasa lega. Oleh hal yang demikian, kita seharusnya menerapkan nilai-nilai yang baik ini kepada para pelajar sejak mereka kecil lagi. Kanak-kanak seharusnya diajar dengan sikap-sikap yang baik supaya mereka terbiasa dengan nilai-nilai sebegini. Hal ini dapat mengelakkan mereka daripada melakukan perkara-perkara yang tidak elok pada masa akan datang. Seperti yang kita lihat pada masa kini, pelbagai masalah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak perlu diterapkan dengan nilai-nilai yang baik sejak mereka kecil.
3.1.3    Nilai Jangan Mudah Marah
Melalui kisah Nabi Yunus ini, kita dapat mempelajari nilai jangan mudah berputus asa. Hal ini dapat dilihat melalui kisah Nabi Yunus yang berputus asa setelah dakwahnya terhadap warga Ninawa ditolak. Penduduk Ninawa tidak mahu menerima ajaran serta dakwah yang disampaikan oleh Baginda. Penolakan ini menyebabkan baginda marah dan berputus asa. Sikap berputus asa yang ditunjukkan oleh baginda telah menyebabkan kemurkaan Allah. Dengan kasih sayang Allah, baginda ditelan dan dipelihara dengan elok di dalam perut ikan nun setelah dibuang ke dalam laut oleh kapal yang ditumpanginya. Melalui kisah ini, kanak-kanak perlu diterapkan dengan sikap jangan mudah berputus asa dalam apa jua perkara sekalipun. Sebagai contoh, mereka tidak boleh berputus asa walaupun tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Tambahan pula Allah tidak suka akan orang yang mudah berputus asa dalam melakukan sesuatu. Kita sepatutnya berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya. Penerapan nilai tidak mudah berputus asa berdasarkan kisah nabi Yunus ini akan meyakinkan kanak-kanak supaya lebih gigih berusaha untuk mencapai kejayaan.
3.0       Penutup
Kesimpulannya, penerapan nilai-nilai murni melalui karya genre sastera kepada pelajar sekolah rendah adalah satu perkara yang amat berkesan dalam bidang pendidikan. Penerapan nilai-nilai murni melalui cerita-cerita teladan dan kisah nabi ini boleh dijadikan contoh oleh kanak-kanak prasekolah. Tambahan lagi cerita teladan dan kisah nabi ini adalah genre sastera yang biasa dan ringan sahaja pembawaannya dan amat sesuai untuk golongan kanak-kanak.
            Untuk lebih menarik minat pelajar prasekolah untuk mempelajari sastera ia boleh diajarkan melalui blog. Sekarang guru-guru telah mempelbagaikan kaedah pengajaran seperti menggunakan blog sebagai salah satu kaedahnya. Pengajaran melalui blog ini sebenarnya dapat menarik minat pelajar dengan lebih lagi kerana blog yang digunakan untuk pengajaran mempunyai animasi yang menarik, audio, grafik dan sebagainya.



0 comments:

Post a Comment