Nabi Yunus bin Matta telah diutuskan oleh Allah untuk berdakwah kepada penduduk di sebuah tempat bernama Ninawa yang bukan kaumnya dan tidak pula ada ikatan darah dengan mereka.
Ajaran-ajaran Nabi Yunus itu bagi para penduduk Ninawa merupakan hal yang baru yang belum pernah mereka dengar sebelumnya lalu mereka tidak dapat menerimanya. Ini menyebabkan baginda meninggalkan Ninawa dengan rasa jengkel dan marah.
Nabi Yunus menumpangi sebuah kapal tetapi kapal yang dinaiki baginda dilanda ombak besar dan tak dapat dikawal. Pengemudi kapal mengadakan undian untuk memilih siapa yang akan dibuang dari kapal bagi meringankan muatan kapal. Nabi Yunus terpilih walaupun setelah tiga kali undian.
Sepeninggalan Nabi Yunus, penduduk Ninawa mulai melihat tanda-tanda yang mencemaskan seakan-akan ancaman Nabi Yunus kepada mereka akan menjadi kenyataan dan hukuman Allah akan benar-benar jatuh di atas mereka. Untuk menebus dosa, mereka keluar dari kota dan beramai-ramai pergi ke bukit-bukit dan padang pasir, seraya menangis memohon ampun dan rahmat Allah agar dihindarkan dari bencana azab dan seksaan-Nya.
Di dalam laut, dengan kasih sayang Allah, tiba-tiba datang seekor ikan Nun (paus) yang sangat besar menelan Nabi Yunus a.s. Nabi Yunus a.s. disimpan di dalam perut ikan Nun dalam keadaan selamat. Di dalam perut ikan itu Nabi Yunus a.s. berdoa, “sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah”.
Ikan Nun tersebut sudah diperintahkan oleh Allah S.W.T supaya menjaga Nabi Yunus di dalam perutnya. Ketika itu, ikan Nun terlalu lapar kerana sejak pagi, ikan tersebut tidak makan apa-apa. Apabila ikan Nun hendak makan anak-anak ikan lain, ikan Nun teringat kepada manusia mulia yang berada di dalam perutnya. Jika ikan Nun makan, sudah pasti Nabi Yunus akan tercedera dan ikan Nun mengambil keputusan untuk berpuasa demi menjaga keselamatan manusia mulia itu. Ikan Nun berasa gembira dapat berkhidmat kepada insan mulia itu.
Walaupun berada dalam kesusahan, ikan Nun berenang untuk meneruskan perjalanannya ke lautan luas. Walaupun badannya semakin lemah tetapi terus juga berenang dengan semangat yang kuat dan memohon pertolongan Allah. Tiba hari keempat, ikan Nun tiba di sebuah pulau yang indah. Perlahan-lahan ikan Nun membuka mulutnya seluas-luasnya supaya Nabi Yunus tidak cedera dan dapat keluar dengan selamat. Selepas itu, ikan Nun pun berenang ke dalam laut untuk mencari makanan pada hari itu ikan Nun akan berbuka puasa. Apa-apa yang ditemuinya nanti itulah rezekinya. Demikianlah pengorbanan ikan Nun kepada Nabi Yunus a.s.
Nabi Yunus diperintahkan supaya kembali ke Ninawa. Sebaik kembali, Nabi Yunus terkejut dan bersyukur melihat keadaan kaumnya yang sudah bertaubat dan kembali kepada Allah.








0 comments:
Post a Comment